Sunday, February 2, 2014

KEMBALI KETANAH AIR


KEMBALI KETANAH AIR

Setelah menghadiri upacara “Call to the Bar” di Lincoln’s Inn dimana saya menerima Ijazah Barrister-At- Law  kami pun membuat persedian untuk kembali ke tanah air dengan perasaan sungguh gembira dan bersyukur. Ini adalah ijazah profesyenal saya manakala ijazah Bachelor of Law yang saya dapati dari Universitity of London adalah ijazah akademik sahaja. Ini adalah sekitar bulan September 1968.

Kami sempat juga pergi melawat Italy sebelum balik ke Malaysia. Kami melawat Bandar Venice yang masyur dengan sistem pengangkutan menggunakan canals. Kami mengambil peluang menaiki gondola dan dihibur oleh penyanyi. Venice mengingatkan saya karya William Shakespear, “Merchant of Venice” yang dipelajari semasa di STAR.

Dua urusan penting yang saya perlu buat sebaik sampai di tanah air ialah mendapatkan pekerjaan dan mengadakan majlis perkahwinan.  Walau pun saya seorang pemegang biasiswa Kerajaan Persekutuan dan pekerjaan adalah terjmain kes saya berlainanan sedikit dari kes biasa. Saya sepatutnya memohon untuk memasuki Perkhidmatan Tadbir Dalam dan Luar Negeri (PTD) tetapi saya lebih cenderong memasuki Perkhidmatan Perundangan dan Keadilan. Saya berjumpa dengan Tun Mohd Salleh Abas yang pada masa itu ialah Peguamcara Negara. Beliau sangat setuju saya memasuki Jabatan Peguam Negara dan menesehatkan saya jangan pergi melapurkan diri kepada Jabatan Perkhidmatan Awam yang sudah tentu akan menempatkan saya di PTD. Tun Salleh berjanji akan menguruskan supaya saya dilantik sebagai Pegawai Undang Undang dan Keadilan dan ditempatkan di Jabatan Peguam Negara.

Urusan mengadakan majlis persandingan dan perkahwinan juga diuruskan dengan seberapa segara. Kebanyakan saudara mara kami tidak mengetahui bahawa kami sudah pun dinikahkan dan sudah pun tinggal bersama selama dua tahun di London.  Untuk menjaga nama dan adat majlis itu perlu juga diadakan. Disebelah saya majlis itu diadakan dirumah Kak Long Zahrah di Sekolah Kebangsaan Hulu Yam Bharu, Selangor dan di sebelah Chah pula diadakan dirumahnya di Kampong Pengkalan Bharu, Kampong Kepayang Perak. Kami sebenarnya tidak boleh dipanggil “pengantin baru”. Alhamdulillah kedua dua majlis itu telah dijalankan dengan sempurnanya. Saya gembira kerana beberapa orang rakan rakan saya dari STAR dapat menghadiri majlis itu. Dengan itu rasmilah perkahwinan kami dari segi agama dan adat.

Betul seperti yang dijanjikan oleh Tun Salleh saya menerima tawaran jawatan sebagai Pegawai Undang Undang dan Keadilan (Sementara) dan ditempatkan di Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Jenayah. Tugas jawatan itu ialah menesihatkan Jabatan Polis  setelah mereka merujukkan Kertas Siasatan terhadap satu kesalahan sama ada mereka mempunyai kes untuk mendakwa orang yang disyakki melakukan kesalahan. Dalam menjalankan tugas ini saya menerima beberapa kertas siasatan terhadap pegawai pegawai tinggi Kerajaan dan orang kenamaan. Kesalahan yang mereka lakukan tidaklah begitu sirius seperti kesalahan trafik dan jenayah ringan. Bukti bukti yang dikemukakan oleh Polis biasanya mencukupi untuk mendakwa mereka. Walau bagaimana pun apabila saya meminta nasihat Ketua Jabatan saya, nasihatnya ialah N.F.A. (No further action atau Tidak Ada Tindakan Seterusnya). Itulah sebenarnya berlaku dalam kehidupan ini.

Saya juga dikehendaki menjalankan pendakwaan kes jenayah berat seperti kesalahan membunuh dan perah ugut. Saya akan diberi kes kes yang lemah untuk didakwa. Rasionalnya ialah sebagai Timbalan Pendakwa Raya muda kalau saya kalah tidak mengapa. Tetapi kalau kes itu didakwa oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan dan dia kalah, dia akan berasa malu dikalangan peguam peguam. Dalam satu kes saya diminta pendakwa seorang muda dengan kesalahan membunuh. Bukti yang ada hanyalah kenyataan orang kena tuduh itu kepada seorang bakal saksi  yang sama sama kena tahan (remand) di dalam lock-up semasa penyiasatan dijalankan bahawa dia memang telah melakukan pembunuhan itu. Semuanya ini sudah dirakamkan di dalam kertas siasatan dan saksi ini telah menandangani kenyataannya ini.  Semasa perbicaraan dijalan saya pun panggillah saksi ini. Dia pada masa itu menafikan segala segalanya. Dia bersumpah mengatakan dia tidak kenal orang kena tuduh. Saya soal dia berkali kali berkenaan pengakuan orang kena tuduh kepadanya bahawa dia telah membunuh mangsa. Dia berkeras menafikannya. Hakim mula menyindir dan  berkata, “Mr. Deputy, I think you are flogging a dead horse!” (“Tuan Penolong Pendakwa, tuan memukul kuda yang sudah mati”). Maksudnya saksi ini tidak akan memberi keterangan yang dikehendaki. Saya pun memberitahu Hakim, “I have no further question My Lord”. Ini bermakna saya tidak ada apa soalan lagi. Hakim pun membuat keputusannya dan memberitahu orang kena tuduh bahawa mengikut undang undang jenayah, sesuatu kesalahan itu mestilah dibuktikan dengan bukti yang kuat hingga keperengkat tiada lagi keraguan yang menesabah (beyond reasonable doubt). Dalam kes ini katanya hanya ada syak sahaja yang orang kena tuduh melakukan kesalahan membunuh dan tidak ada bukti kukuh hingga keperingkat tiada keraguan yang menesabah. Oleh yang demikian orang kena tuduh dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan itu. Begitulah nasib Timbalan Pendakwa Raya muda!