Saturday, December 7, 2013

MENYESUAIKAN DIRI DENGAN CARA HIDUP BARU DI LONDON – 1966/67


 

 

Hidup berumah tangga dan belajar adalah baharu bagi saya. Begitu juga bagi H, bekerja dan melayani suami adalah baharu baginya. Apatah lagi di Kota Raya London yang jauh berbeza dengan Pengkalan Baharu, Pantai Remis. Namun begitu, Alhamdulillah, kami tidak menghadapi apa apa masaalah.

Kami dapati penduduk London tidak ada pada zahirnya prejudis terhadap orang asing. Jiran jiran kami, pekerja pekerja kedai,  pekerja sistem penganngkutan, teman sekerja, penuntut penuntut temapatan semuanya menghormati kami. Mungkin mereka tidak begitu mesra dan seolah olah, “mind their own business”.  Hanya kami dapati kelakuan anak anak muda mereka ganjil kepada kami. Mereka tidak segan silu berpeluk cium di khalayak ramai dan pakaian merkera agak menjolok mata. Kita juga terpaksalah mengambil sikap, “mind our own business”.

Pada peringkat masyarakat orang orang Inggeris sangatlah bertimbang rasa dan suka menolong orang asing seperti kami. Melalui British Council (Badan Bukan Kerajaan), kami menerima jemputan untuk menjadi tetamu kepada keluarga Inggeris tempatan. Kami dijemput dengan kereta dari rumah kami dan dibawa tinggal bersama mereka dua malam pada hujung minggu. Mereka melalui satu persatuan sukarela tempatan mengaturkan majlis makan tengah hari, minum teh untuk berkenal kenalan dengan mereka dan membawa kami melawat ketempat tempat menarik di kawasan mereka, misalnya Pinewood Studio diantara tempat tempat lain. Mereka menjemput lebih kurang 20 orang tetamu terdiri dari penuntut penuntut asing bersama kami. Selepas itu kami dihantar balik dan diberi pula cendera hati. Ini adalah seperti tinggal di “homestay” dengan percuma. Saya rasa kita di Malaysia belum sampai ketaraf ini dalam budaya kita. Apabila kami balik ke Malaysia kami cuba membalas budi orang Inggeris ini dengan menjemput orang orang asing tinggal bersama kami. Sekali kami menjemput empat lima orang pemuda Inggeris tinggal bersama kami beberapa malam sebab mereka terkandas di Lapangan Terbang Antara Bangsa Kuala Lumpur. Sekali lagi kami menerima beberapa orang penuntut Inggeris lepasan sekolah menengah tinggal beberapa hari dengan kami. Mereka baharu sampai di negara ini untuk memulakan satu tahun berkhidmat sebagai sukarelawan dalam skim yang dikenali sebagai “Gap Year”. Dibawah skim ini mereka berkhidmat sebagai sukarelawan dalam beberapa bidang sebelum masuk universiti atau selepas keluar dari universiti sebelum mula berkerja. Kami juga pernah menjemput satu keluarga dari Sudan tinggal bersama sama kami dari masa kesemasa. Suaminya berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antara Bangsa Kuala Lumpur.

Kami juga mengambil peluang terus melawat tempat tempat menarik sama ada di London sendiri atau di luar London. Untuk trip jauh dari London biasanya kami pergi dalam satu kumpulan terdiri dari penuntut penuntut Melayu yang sudah berkeluarga. Kami pernah membuat trip ke Isle of Wright dengan hoover craft dan menikmati pemandangan yang indah disana. Saya suka memakan scones tempatan disana. Kami juga pernah melawat Univeriti Cambridge dan Oxford. Tidak ketinggalan juga ialah lawatan ketempat lahir William Shakespeare di Stratford Upon Avon.

Orang Barat termasuklah orang Inggeris walau apa pun taraf social mereka suka berjalan jalan semasa cuti mereka. Apabila mereka balik berkerja mereka akan ceritakan kemana mereka bercuti! (Walau pun kawan kawan tidak minat pun minat mendengarnya) Orang Inggeris suka bercuti ke Benua Eropah terutamanya Sepanyul dan Itali. Ada tempat tempat perangain itu khusus untuk orang Inggeris! Kami berpeluang mengikuti bercuti mengikut mereka ke Itali termasuk Venice yang masyhur dengan canals nya. Kami juga pernah mengikut “conducted tours” pergi ke Sepanyul dan menuntun pertunjukan “bull fights” yang sangat popular di Sepanyul.

Kami agak “popular” dikalangan kawan kawan dari Malaysia mahu pun dari negara lain. Begitu juga dengan kawan kawan dari Malaysia yang datang melawat London. Saya percaya ini adalah disebabkan masakan H. Bukan sahaja dia pandai memsak masakan Melayu yang biasa seperti gulai dan kari, samabal tumis dan lain lain tetapi juga masakan yang saya panggil “exotic” seperti kerabu daging yang saya sendiri belum pernah rasa sebelum berkahwin dengannya. Kerabu daging ini adalah masakan Perak. Daging lembu itu dipanggang kemudian dihiris nipis nipis dan digaul dengan kerisik kelapa, serai, halia, cili merah, perahan limau nipis, pati santan dan sedikit garam dan gula. Sampai sekarang inilah kegemaran saya dan anak anak kami. Ramai juga kawan kawan kami yang terpikat dengan masakan ini, sehinggalah sekarang!

 

No comments:

Post a Comment