Friday, November 22, 2013

SEKOLAH MENENGAH (bahagian ke lima) - MOGOK LAPAR



MOGOK LAPAR DI STAR

 

Satu kenangan pahit pula berlaku dalam tahun 1960 rasanya.Saya hampir hampir dibuang sekolah. Puncanya ialah makanan yang dihidangkan di Dewan Makan. Adalah diakui bahawa makanan yang disediakan dimana mana asrama jaranglah sedap. Tetapi pada masa itu kualiti makanan yang disediakan di STAR  sangatlah teruk. Misalnya, ulat terdapat dalam nasi dan ikan yang disediakan berbau ubat pembunuh serengga yang dikenali sebagai Sheltox. Ada kalanya kuantinya pula tidak mencukupi (sebab ada kakitangan yang membawa makanan dari Dewan Makan balik kerumah mereka). Dengan latar belakang ini pada bulan puasa tahun itu murid murid  dalam kelas saya dan seorang guru membincangkan soal ini. Yang saya teringat guru itu menesehatkan terpulanglah kepada pelajar pelajar senior seperti kami memngambil tinadakan yang sesuai untuk mengatasi masaalah itu.

Saya kemudian menjemput beberapa orang pelajar pelajar senior termasuk semua prefect datang ke Rumah Putih membincangkan isu itu. Dalam perjumpaaan “haram” ini kami putuskan bahawa kami  akan pulaukan makan sahur malam itu sebagai bantahan terhadap kualiti makan yang teruk itu. Pada ingatan saya saya berucap dalam Dewan Makan sebelum sahur menyatakan keadaan buruk berkenaan makanan di Sekolah. Kalau tidak salah ingatan saya, Husin Salleh, Penolong Ketua Murid juga berucap. Pada akhir ucapannya dia bertanyakan sama ada kami hendak makan hidangan sahur malam itu. Dengan sebulat suara dan  suara yang kuat semua mejawab “TIDAK”. Apa yang tidak disangka sangka berlaku. Semua pelajar keluar dari Dewan Makan dan balik ke asrama.

Saya difahamkan apa yang berlaku selepas itu, Arwah Tun Hamdan apabila mendapat tahu apa yang telah berlaku pergi kebilik bilik asrama Rumah Hijau dan Biru pasang lampu dan menyuruh pelajar pelajar pergi balik ke Dewan Makan. Ada budak yang berani padamkan lampu itu dan berkata “No”! Ini menjadikan arwah Tun sangat marah.  Selepas itu arwah Tun bercakap melalui Public Address System menyuruh semua pelajar dengan serta merta pergi balik ke Dewan Makan dan makan sahur. Kami pun pergilah. Tun sangat marah dan memberitahu kami bahawa kami telah melakukan satu  kesalahan  besar iaitu “insubordination”. Pertama kali saya mendengar perkataan itu. Dia mengesa kami makan juga hidangan malam itu. Seingat saya tidak ramai yang makan malam itu.

Keesukan harinya tidak ada apa apa berlaku. Saya mengagak saya akan dipanggil oleh Guru Besar disoal dan dirotan! Ini tidak berlaku. Saya hairan juga. Pada malam itu rasa saya, Cikgu Perdaus memanggil saya ke biliknya di Rumah Hijau. Dia memberitahu saya dia telah diarahkan menyediakan “Leaving Certifacate” untuk saya meninggalkan Sekolah. Dia juga  memberitahu bahawa Guru Besar sangat sangat kecewa dengan saya sebab dia sayangkan saya dan saya membalasnya dengan membuat kesalahan berat ini. Saya beritahu Cikgu Perdaus apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur.  Berani buat berani tanggung. Saya akur sahajalah dengan keputusan itu. Agaknya Cikgu Perdaus pun terperanjat. Dia menesehatkan saya supaya saya pergi berjumpa dengan Guru Besar dan meminta maaf.  Dan kalau kalau perlu,  saya  mesti bersetuju membuat “public apology” dan dikenakan  “public caning”. Saya memaklumkan saya tidak bersetuju.

Akhirnya, kami yang terlibat dengan mengadakan perjumpaan haram malam itu dipanggil oleh Guru Besar kepejabatnya dan  diberi satu “lecture” berkenaan kesalahan “insubordination”. Satu lagi perkataan yang tidak dapat saya lupakan ialah perkataan “repercussion”. Guru Besar memberitahu insiden itu akan mendatangkan banyak repercussion. (Saya kemudiannya buaka kamus dan dapati repercussion maknanya, “ indirect effect or reaction following an event or action”). Saya belajar dua perkatan baharu melalui insiden ini! Akirnya kami dirotan dalam pejabat Guru Besar.

 Saya bersyukur tidak dibuang sekolah seperti apa yang berlaku kepada beberapa orang kawan saya di Sekolah Dato Abdul Razak, Tanjong Malim yang melakukan mogok yang lebih serius pada tahun berikutnya.

Akhir akhir ini saya diberitahu oleh Cikgu Perdaus bahawa dia juga telah diarahkan menyediakan Leaving Certificate untuk Badli Awang Cik, Ketua Murid pada masa itu. Ini memeranjatkan saya. Saya rasa dia bukan lah salah seorang “ring leader” tunjuk perasaan malam itu. Mungkin kesalahannya ialah  tidak mengambil tindakan menahan perkara ini berlaku. Cikgu Perdaus memberitahu saya dia mempertahankan kami supaya tidak dibuang sekolah kerana ini adalah hukuman yang sangat berat dan tidak setimbal dengan kesalahan kami. Lagi pun niat kami adalah baik hanya cara kami menjalankannya salah. Malahan dia memberitahu Guru Besar dia akan melakukan sesuatu sekiranya kami dibuang sekolah. Dia juga berasa bertanggung jawab keatas berlakunya insiden ini oleh sebab sedikit sebanyak ini menunjukkan kegagalan “Messing Committee” yang dia menjadi Pengerusinya.

Saya sangat sangat berterima kasih kepada Cikgu Perdaus kerana mempertahankan saya supaya saya tidak dibuang sekolah. Saya tidak tahu apalah nasib saya kalau dibuang sekolah.

Diatas apa yang berlaku saya mestilah sebutkan bahawa arwah Tun seolah olah melupakan segala kesalahan saya dan masih menyayangi saya. Selepas dia bertukar ke Kementerian Pelajaran, tiap tiap kali dia melawat keluar negeri dia hantar saya poskad. Dalam satu poskad  yang saya terima darinya dari London dia menulis, “Yussof, I hope you study hard  so that you can come to London to continue your studies”. Saya begitu megah menerima pos kad itu. Masin lidahnya.

No comments:

Post a Comment