ARWAH TUN HAMDAN BIN SHEIKH TAHIR DALAM KENANGAN
Lagi satu insiden yang saya tidak boleh lupakan
melibatkan Tun. Rasanya ini berlaku dalam tahun 1961. Tahun itu kami merayakan
Hari Raya Idil Adha di Sekolah walau pun ada beberapa hari cuti. Tun
bersembahyang Hari Raya bersama sama kami di Dewan. Lepas sembahyang, guru
bertugas membuat pengemuman bahawa Tun hendak berjumpa dengan saya dan seorang
lagi kawan saya, Yusof Hassan. Saya
berasa kecut. Tentulah dia hendak memarahi saya lagi. Sebalinya k ami dijemputnya untuk mengikutnya
berhari raya di rumah isterinya arwah Toh Puan Zainab di Batu Gajah. Kami pun
pergilah dengan gembira. Lepas itu kami
dibawanya ke Makam DiRaja Kuala Kangsar untuk menziarah makam ayahanda Tun,
Sheikh Tahir Jalaluddin. Pertama kali saya mendengar Tun membaca doa tahlil
dalam Bahasa Arab yang begitu faseh.
Apa yang berlaku selepas itu sungguh memeranjatkan
saya. Selepas balik dari Kuala Kangsar, Tun mempelawa saya mengikutnya ke Kuala
Lumpur sebab masih ada beberapa hari cuti lagi. Saya berasa malu hendak menerima
jemputannya itu.Saya beri alasan yang saya tidak ingat lagi tidak dapat
menerima jemputannya. Lepas seketika dia bertanya mungkin saya ingin balik
berhari raya di Hulu Yam bersama keluarga.
Saya cepat cepat bersetuju. Dia
pergi berjumpa arwah Tan Sri Murad Guru Besar pada masa itu memberitahunya bahawa dia akan bawa saya
balik ke Hulu Yam semasa cuti Raya itu. Hampir tengah malam baharu saya sampai
dirumah. Begitu baiknya arwah Tun kepada saya setelah saya “tidak mengenang
budinya”.
Bukan itu sahaja budi Tun kepada saya. Apabila saya
ditawarkan Biasiswa untuk belajar ke United Kingdom, saya tidak ada sesiapa
saudara mara yang boleh menjadi Penjamin saya. Kelayakan menjadi Penjamin ialah
sekurang kurangnya Pegawai Kerajaan Division Satu. Saya berjumpa Tun dan
bertanya kalau dia boleh menjadi Penjamin saya. Beliau tidak teragak agak
bersetuju.
Dalam hidup saya Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan Tun
Hamdan terutamanya telah memainkan perananan yang begitu besar. Saya sangat
terhutang budi kepada Sekolah dan arwah Tun. Saya doakan agar roh Tun dan Toh
Puan diletakkan dersama sama roh para rasul rasul, anbia’, syuhada’ dan
sadikin. Amin.
No comments:
Post a Comment