BERTUNANG
Tahun 1960 dan1961 adalah tahun tahun yang saya anggap paling mencabar bagi saya dan
membawa beberapa kenangan, ada yang manis dan tidak kurang pula ada yang sungguh pahit.
Salah satu kenangan manis itu ialah persahabatan saya
dengan seorang pelajar Sekolah Tun Fatimah, Melaka yang bermula dalam tahun
1960. Namanya H, yang berasal dari Kampong Pengkalan
Baharu, Kampong Kepayang, Perak. Ceritanya panjang. Dipendekkan cerita saya
diperkenalkan dengannya oleh bapa seorang kawan sama sama belajar di STAR,
Abbas Hassan. Bapanya itu adalah seorang guru di Sekolah Melayu Gopeng. Dalam
satu pertemuan dengannya dia
menceritakan dia mempunyai seorang murid perempuan yang pandai dan terpilih belajar di Sekolah Tun Fatimah, Melaka. Cikgu
Hassan memuji muridnya ini menjadikan saya
tertarik hati dengannya. Saya pun menulis surat kepadanya. Surat saya itu tidak
dibalas. Masa itu saya dalam Tingkatan Dua rasanya. Hanya apabila saya berada
dalam Tingkatan Empat dia menulis surat kepada saya dengan helah untuk
mengucapkan tahniah diatas keputusan cemerlang peperiksaan LCE saya.
Saya terpaksa mengakui saya agaknya adalah
seorang yang berhati romantis!. Sejak kecil lagi saya tertarik kepada kaum
Hawa! Kawan baik saya semasa pra Sekolah ialah seorang budak perempuan seumur
dengan saya namanya J. Kami main pondok pondok dan bermain permaianan kanak
kanak seperti masak masak dan sebagainya.
Dia hanya kawan biasa sahaja. Walau bagimana pun apabila saya masuk ke
Romove Class di Kuala Lumpur terptuslah
hubungan itu. Akhir akhir saya mendengar dia telah berkahwin. Saya sebenarnya
tidak tahu sama ada J tahu pun yang saya menaruh hati kepadanya. Semasa saya di Darjah Tujuh Sekolah Melayu
saya jatuh hati dengan seorang murid perempuan sedarjah dengan saya. Kami
pernah dengan kawan lain pergi berpiknik ke Templar Park selepas tamat darjah
tujuh dan menunggu keputusan peperiksaan. Dia lulus peperiksaan itu dan menjadi
seorang guru pelatih dan saya meneruskan pelajaran ke Remove Class. Memanglah
tidak sesuai seorang murid sekolah dan mentah bercinta dengan seorang guru.
Cinta kedua saya R sebenarnya lebih tua dari saya. Saya berumur 12 tahun dan
dia mungkin berumur 16 atau 17 tahun.
Semasa saya di STAR seperti juga budak budak lain saya
mempunyai beberapa orang sahabat pena. Dua orang adalah murid perempuan dari
Sekolah Melayu saya, bernama A dan Z!
Seorang lagi bernama N. Mereka juga telah masuk kesekolah menengah
setempat iaitu di Kuala Kubu Bharu. N
pula masuk ke Sekolah Tun Fatimah setahun selepas saya masuk STAR. Persahabatan
saya dengan ZA tidak sampai kemana. Z sebenarnya adalah adik kepada R kawan
saya yang menjadi guru itu. Lama juga saya berbalas balas surat dengan mereka.
Masa di STAR
pun saya mengenali beberapa orang murid perempuan di Bandar Ipoh melelui
penglibatan saya dalam bidang bahas antara sekolah sekolah. Kedua duanya
belajar di Sekolah Raja Perempuan seorang bernama A,dan saya sudah lupa nama yang seorang lagi
itu. Semasa di Tingkatan Empat saya sudah mula pergi menuntun wayang dengan
mereka bersama sama kawan kawan lain dari STAR. Dengan A saya rasa persahabatan
saya lebih rapat lagi. Saya masa di Tingkatan Empat sudah mempunyai basikal.
Jadi beberapa kali kami berjumpa dan berbasikal keberapa tempat yang menarik
disekitar Bandar Ipoh. Pada satu hari tengah kami berbasikal sebuah kereta
memotong kami dan berhenti dan kemudian “gostan” untuk melihat kami. Hilang
darah saya sebentar. Pemandu kereta itu ialah seorang guru STAR! Apalah nak
jadi, hati saya bertanya. Tetapi Cikgu L sporting dan dia tersenyum sahaja dan
berlalu! A ini agak berani. Pada hari Sukan tahunan Sekolah masa saya di
Tingkatan Empat dia datang ke Sekolah untuk menuntun pertandingan Sukan. Saya
bukannya ahli Sukan jadi saya tidak ada apa hendak dimegahkan kepadanya.
Agaknya A hilang minatnya kepada saya mulai dari hari itu. Namun demikian
saya rasa seronok juga dengan
lawatannya. Agaknya sayalah murid pertama di STAR yang pernah menerima lawatan
seorang “girl friend”. A akhir akhirnya berputus hubungan dengan saya dan saya
dengar dia kemudian berkahwin dengan seorang pegawai Kerajaan Brunei.
Persahabatan
saya dengan kawan terbaharu saya dari STF itu dari sehari bertambah rapat. Dia mulanya “marahkan” saya sebab
tidak membalas suratnya masa kami di Tingkatan Dua. Sebenarnya saya tidak
menerima surat itu. Dia kemudian mendapat tahu dan mengakui surat yang
ditulisnya membalas surat saya itu yang diposkannya melalui peti surat Sekolahnya dirampas oleh pihak
Sekolahnya. Pada akhir tahun 1961 apabila kami habis Tingkatan Lima kami
beranggapan kami lebih dari kawan biasa. Kami berpeluang berjumpa pertama
kalinya dalam keretapi dari Kuala Kubu ke Rawang. Kami membuat perjanjian melalui surat yang saya
akan menaiki keretapi di KKB semasa dia balik ke STF dan berada dalam
keretapi itu. Itulah satu satunya masa yang paling manis dan romantis diantara
kami. Kami bercerita tetapi saya sudah lupa apa yang kami ceritakan. Dapat
berjumpa itu sudah mencukupi.
Dari perjumpaan
pertama didalam keretapi itu saya dapati H lebih cantik dari gambarnya. Dia
adalah seorang yang berhemah tinggi dan mempunyai personaliti yang sungguh
menawan. H pula mendapati saya tidak lah sehitam dalam gambar dalam majallah
PERINTIS. Gambar itu ialah penghormatan sempena saya mendapat keputusan terbaik
dalam peperiksaan LCE. (Gambar itu
sekarang dipamirkan di Galeri Tun Hamdan di STAR)
Apabila saya lulus peperiksaan School Certifacate
dengan keputusan yang agak cemerlang saya rasa masa hadapan agak terjamin.
Sekurang kurangnya saya tidak akan susah sangat mendapat pekerjaan. Saya
sudah berumur 19 tahun. Mungkin bolehlah
saya memikirkan “going steady” dengan H. Dia seolah olah bersetuju. Saya
memberanikan hati dan memberitahu Kakak berkenaan hasrat saya hendak bertunang
dengan H. Saya berjanji bahawa saya tidak akan sekali kali mengabaikan
pelajaran saya. Malahan saya akan belajar lebih bersungguh sungguh lagi, saya memberitahu Kakak. Saya tidak tahu
sama ada dia terperanjat atau tidak. Atau sudahkah dia mengagak ini akan
berlaku sebab dia tahu saya selalu menerima surat yang tebal tabal? Kakak tidak
berkata apa apa dan tidak pula menegah. Agaknya dia perlu menimbangkannya
dahulu sebelum membuat keputusan.
Semasa saya di Tingkatan Enam Rendah saya selululah
berjumpa dengan H pada hari Sabtu atau Ahad di Ipoh. Dia mengikuti kursus
menaip disalah sebuah sekolah menaip dan menjadikan ini alasan untuk pergi ke
Ipoh. Kami biasanya menuntun wayang dan makan tengah hari sebelum berpisah. Ada
juga kami membuat trip dengan bas ke tempat tempat lain . Saya teringat kami
naik bas ke Teluk Intan dan menunjukkan kepada H pekan Batak Rabit dimana arwah
ayah pernah menjadi guru.
Keputusan peperiksaan
School Certificate H tidaklah secemerlang keputusan saya. Dia
tidak akan dapat melanjutkan pelajaran
ke Tingkatan Enam seperti saya. H
menawarkan untuk melepaskan saya supaya
saya bolehlah mencari kawan yang setaraf dengan saya! Disinilah agaknya saya menzahirkan perasaan
cinta saya. Sekali kali saya tidak akan berbuat begitu, kata saya. Saya juga
sedar dia hanya hendak menguji saya. Rasanya saya lulus ujian itu!
Oleh sebab H mempunyai gred yang agak baik dalam
beberapa mata pelajaran penting dia memutuskan untuk memohon masuk ke Maktab
Perguruan. Sementara menunggu keputusan permohonan itu dia mendapat pekerjaan sebagai
guru sementara di sebuah Sekolah Inggeris di Kampar. Elok jugalah. Saya ada
seorang kawan sesama dalam Tingkat Enam dari Kampar. Beberapa kali saya
menumpang tidur dirumahnya untuk membolehkan saya berjumpa H di Kampar.
Tanpa pengetahuan saya Kakak dan suaminya suatu hari
pergi ke Sekolah Inggeris Kampar dimana H bertugas sebagai guru sementara dan
berjumpa dengan H. H kemudiannya menceritakan hal ini kepada saya. Rupanya Kakak
pergi merisik! Kami agak risau juga apakah agaknya keputusan periksaan itu.
Pada cuti akhir tahun 1962, Kakak memberitahu kalau saya betul betul serius
dengan H dia sedia pergi meminang. Saya terperanjat juga tetapi sangat gembira
dengan berita baik ini. Tahulah saya
Kakak sukakan H dan terlalu sayang kepada saya dan tidak mahu menghampakan
permintaan saya. Kalau jasa pertamanya kepada saya ialah menananggung
perbelanjaan persekolahan saya hingga saya tamat Tingkatan Lima, inilah jasa
keduanya yang saya tidak terbalas iaitu mempersetujui permintaan saya untuk
bertunang dengan seorang wanita yang
saya sangat cintai.
Kakak dengan beberapa orang ahli kelaurga kami di
Sungai Itik Gopeng pergilah meminang Hapsah Binti Mohammad Yusup untuk menjadi
bakal isteri saya.
Bila saya balik ke Sekolah untuk memulakan pengajian
Tingkatan Enam Atas saya begitu gembira yang saya sudah bertunang dan
memberitahu kawan kawan karib saya. Ada yang tidak percaya. Saya tidak peduli.
Minat saya tahun itu hanyalah belajar bersungguh sungguh dan menumpukan
perhatian kepada tunang kesayangan saya! Minat saya dalam pergerakan luar
darjah yang lain seperti berbahas, Palang Merah dan berlakun hampir pupus.
Walau bagaimana pun saya telah dilantik sebagai seorang ketua murid kali
pertama sejak memasuki Sekolah. Saya juga masih lagi Editor majallah Sekolah
“PERINTIS”.
H dalam tahun 1962 memasuki sebuah Maktab Perguruan di
Kuala Lumpur. Ini membuatkan perjumpaan dengannya susah sedikit. Walau
bagaimana pun kami sempat juga berjumpa masa cuti Sekolah dan Maktab. Ada
kalanya kakak akan menjenguknya di Maktab dan membawanya kerumah kakak. Ada
juga H menghabiskan setengah masa cuti Maktab bersama kami dan setengah lagi
dengan keluarganya.
No comments:
Post a Comment