Friday, November 22, 2013

SEKOLAH MENENGAH (bahagian kesembilan) TINGKATAN ENAM


TINGKATAN ENAM DI STAR (1962 – 1963)

Berdasarkan kepada kelulusan  peperiksaan kemasukan ke Tingkatan Enam lebih kurang 40 orang pelajar diterima masuk ke Tingkatan Enam Sastera pada 1962. Seramai lebih kurang 20 orang pelajar pula diterima masuk ke Tingkatan Enam Sains. Ada beberapa orang diantara pelajar pelajar Jurusan Sains  ini berasal dari sekolah sekolah lain tetapi kebanyakannya adalah dari STAR. Semasa kami memulakan pengajian Tingkatan Enam keputusan peperiksaan SPM dan School Certificate belum diketahui lagi. Apabila keputusan ini dikeluarkan nanti untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam pelajar pelajar mestilah mencapai pangkat yang ditetapkan, salah satu daripadanya ialah kelulusan dalam Bahasa Inggris.

Dalam bulan Mach 1962 keputusan peperiksaan SPM dan School Certicate  yang dinanti nantikan itu dikeluarkan melalui akhbar akhbar. Sebilangan kecil sahaja yang mendapat Gred Pertama Cambridge School Cerficate. Ini termasuklah saya sendiri. Selainnya mendapat Gred Kedua dan Ketiga. Bilangan kecil yang mendapat Gred Pertama  Cambridge School Certficate ialah disebabkan kegagalan mendapat pangkat credit dalam mata pelajara Bahasa Inggeris. Diperengkat SPM lebih ramai yang mendapat Gred Pertama. Saya tidak berapat ingat perincian keputusan tersebut.

Adalah difahamkan ramai bekas pelajar STAR yang tidak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam memasuki bidang perguruan dan memasuki Maktab Maktab Perguruan. Apa yang menggembirakan ialah ramai diantara mereka selepas mengajar beberapa tahun mereka masuk ke Universti.

Dua tahun berikutnya iaitu tahun 1962 dan 1963 merupakan period yang amat penting dari segi pengajian tinggi saya. Saya belajar dalam Jurusan Sastera  tetapi dengan mengambil satu mata pelajaran sains iaitu Mathematics yang saya amat gemari. Belajar di Tingkatan Enam adalah persedian untuk pengajian di Universiti nanti. Guru guru memberi syarahan sahaja dan terpulanglah kepada pelajar membuat bacaan tambahan dan nota sendiri. Ini memerlukan penggunaan library yang bijak. Masa itu tidak ada internet. Pelajar juga dikehendaki menulis assignment diatas topik topik  tertentu. Ini mmemerlukan penyelidikan melalui pembacaan buku buku selain dari buku teks.  Saya rasa selesa dengan grade grade yang diberi oleh guru Sejarah dan Ekonomi saya keatas assignment saya. Saya tidak berapa ingat sama ada assignment  diberi dalam kelas Bahasa Melyu dan Mathematics.

Sekali lagi saya dapati pilihan saya mengikuti jurusan Satera amat tepat. Kami mempunyai guru guru siswazah yang berkelebar mengajar kami seperti arwah Cikgu  Dato Aziz Ismail yang mengajar Sejarah dan apabila dia naik pangkat menjadi Pengetua, Cikgu Naranjan Kaur mengambil alih mengajar mata pelajaran ini, Cikgu Sockalingam yang mengajar Geografi dan cikgu cikgu yang mengajar mata pelajaran Ekonomi. Saya sudah lupa nama mereka.

Sekolah juga ada Tingkatan Enam jurusan sains, walau pun kelasnya agak kecil dibandingkan dengan kelas jurusan sastera. Hanya lebih kurang 20 orang pelajar sahaja. Dari segi guru guru pula pelajar pelajar  Tingkatan Enam sains menghadapi handicap. Guru guru mereka terdiri dari guru guru Peace Corp Amerika, British Overseas Voluntary Service, guru guru yang pinjamkan dari Sekolah Anderson dan ACS Ipoh. Saya sudah dapat mengagak bahawa keputusan peperiksaan HSC mereka tidak akan berapa baik.

Semasa di Tingkatan Enam Atas kami sudah mula merancang apakah bidang atau profession yang kami ingin ceburi. Untuk pelajar jurusan sastera bidang bidang itu sangat terhad, iaitu hanya Malayan Civil Service  (MCS) atau perkhidmatan  perguruan.  Walau pun ada bidang bidang lain seperti Undang Undang dan Accountancy yang boleh diikuti oleh pelajar aliran sastera  malangnya tidak banyak pengetahuan berkenaan profesyen profesyen  ini yang kami ketahui. Lagi pun pada anggapan kami mungkin tidak ada biasiswa Kerajaan untuk pengajian dalam bidang bidang ini. Untuk kami semuanya bergantung kepada biasiswa Kerajaan. Untuk pelajar pelajar jurusan Sains pilihan adalah lebih banyak bergantung kepada mata pelajaran yang dipelajari diperengkat Higher School Certificate. Mereka boleh memilih Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan (yang  ada pelbagai bidang ), Kimia, Food Technology, Sains tulin dan berbagai bagai lagi. Dari segi biasiswa juga lebih banyak badan badan yang memberi biasiswa. Selain dari Kerajaan, Lembaga Letrik Negara dan Kerajaan Kerajaan  negara nehara Commenwealth juga memmberi biasiswa dibawah Colombo Plan.

Semasa saya di Tingkatan Enam Atas  H menuntut di Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur. Kami berpeluang juga berjumpa sebab percutian Sekolah dengan Maktab tidak sama. Saya dapati ada tujuh atau lapan orang bekas pelajar STAR di Maktab tersebut.  Saya perkenalkan mereka kepada H dengan permintaan supaya tolong tengok tengokkan dia! H juga merasa selesa dengan mereka. Malahan katanya dia tidak rapat lansung pelajar lelaki selain dari bekas pelajar STAR! Hingga sekarang dua orang dari mereka iaitu Isa Haji Ali dan Basir Yunus adalah kawan rapat kami. Ada pula  beberapa orang bekas pelajar STAR yang mengikuti pengajaian profesyenal di Maktab RIDA (yang  kemudiannya dinaik taraf ke ITM dan sekarang menjadi U ITM). Kami juga sering berjumpa mereka. Ini termasuklah Omar Othman dan Shuib Puteh.

Sebelum mengambil peperiksaan HSC Principal Level pada penghujung tahun 1963 saya meminta bercuti beberapa hari untuk menjumpai H di KL. Saya berterus terang dengan Cikgu Perdaus. Alangkah seronoknya saya Cikgu Perdaus membenarkannya. Sebab itulah kami sentiasa mengingati Cikgu Perdaus. Saya menumpang di BP House (Rumah Pengakap) di KL. Saya mula mula mengetahui BP House semasa mengambil bahagian dalam  satu pertandingan Persatuan Palang Merah mewakili  negeri Perak untuk memperingati 100 tahun Palang Merah ditubuhkan pada tahun 1959. Pasukan kami diketuai oleh Cikgu Lau Hut Yee dan Cikgu Michael Liau. Sewa biliknya sangatlah berpatutan. Sekali lagi saya tinggal di BP House ialah apabila saya dan Adzmi Abdul Wahab (sekarang Tan Sri) mengambil bahagian dalam pertandingan Malayan Junior Tennis Championship. Perjumpaan itu adalah untuk memberi saya semangat untuk menghadapi peperiksaan HSC yang sangat penting itu.

Pada penggal ketiga semasa di Tingkatan  Enam Atas, kami memohon biasiswa untuk mengikuti kursus Ijazah di Universiti apabila lulus HSC dan diterima masuk ke Universiti. Kebanyakan memmohon biasiswa untuk melayakkan memasuki MCS atau Perkhidmatan Perguruan. Temuduga dibuat oleh Surahanjaya Perkhidmatan Awam di KL. Semasa di Tingkatan Enam saya menerima biasiswa Bank Negara. Oleh sebab itu saya juga ditemuduga oleh Bank Negara untuk biasiswa belajar di Universiti. Hampir kesemua kami ditawarkan biasiswa atau bursary (yang lebih rendah nilainya) untuk memasuki MCS atau Perkhidmatan Perguruan. Biasanya mereka yang dijangka mendapat keputusan yang baik diperengkat HSC ditawarkan biasiswa MCS. Nasib saya lebih baik, saya berjaya dalam kedua dua temuduga itu. Pertama saya ditawarkan biasiswa Kerajaan Persekutuan untuk belajar dimana mana Universiti di United Kingdom untuk mengikuti kursus  ijazah pertama dengan peluang berkhidmat dengan MCS. Kedua Bank Negara menawarkan saya biasiswa untuk belajar ekonomi di Universiti Malaya. Saya agak berasa berat juga untuk pergi belajar di United Kingdom mungkin tiga atau empat tahun dan meninggalkan H di Malaya. Bukan sengkat masanya. Tetapi kami mengambil keputusan bersama bahawa saya mestilah mengambil peluang keemasaan itu dan saya memilih untuk menerima tawaran belajar di United Kingdom. Bukan senang seorang anak kampong miskin mendapat peluang seperti itu.

 

No comments:

Post a Comment