Remove Class Kuala Lumpur 1956
Sebelum memulakan persekolaan menengah, saya telah
tamat Darjah 7 (juga disebut Darjah Khas) di Sekolah Melayu pada penghujung tahun 1955. Saya sudah layak menjadi seorang
Guru Pelatih dan kalau ada nasib saya berpeluang pula memasuki Maktab
Perguruan, iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim. Nasiblah
Kerajaan masa itu memulakan rancangan menubuhkan sekolah menengah untuk
menampung pelajar pelajar terpilih dari Sekolah Melayu. Ini adalah mengikut
kehendak Lapuran Razak. Melalui satu peperiksaan saya terpilih memasuki sekolah
menengah. Saya juga sudah terpilih menjadi seorang guru pelatih. Pilihan awal
saya ialah hendak menjadi seorang guru pelatih, walau pun saya hanya berumur 12
tahun! Saya tidak tahu apa dia sekolah menengah itu. Kalaulah saya tahu masuk
sekolah menengah bermakna saya akan terus belajar selama 8 tahun lagi (iaitu
setahun di Remove Class , 5 tahun sekolah menemgah dan dua tahun di Tingkata 6)
dan mungkin terus belajar selama 4 tahun
lagi di perengkat Universiti mungkin saya tidak mahu masuk sekolah menengah.
Saya tahu menjadi seorang guru pelatih adalah satu jalan keluar dari
kemiskinan. Saya akan menerima gaji walau pun saya tidak tahu jumlahnya.
Kakak saya pada masa itu adalah seorang guru. Dialah yang memutuskan bagi saya bahawa
saya mestilah meneruskan pelajaran ke sekolah menengah. Dia mempunyai visi yang
saya tidak nampak. Dia mengatakan bahawa jawatan guru Sekolah Melayu tidak akan
membawa saya kemana mana. Dengan pelajaran sekolah menengah saya akan mempunyai
peluang yang lebih baik dalam hidup saya nanti. Saya akur dengan keputusannya dan pada awal tahun 1956 saya pun dihantarnya
ke sebuah hostel di Jalan Sulaiman, Kuala Lumpur. Ini adalah satu pengelaman
baharu kepada saya dan 40 orang budak budak Melayu dari daerah daerah lain di
Selangor yang telah dipilih untuk masuk sekolah menengah. Hostel itu juga
menampung budak budak Melayu lain yang belajar di sekolah sekolah Inggeris di
Kuala Lumpur.
Keesukan harinya kami dibawa ke sebuah sekolah baharu
di Brickfields, iaitu Bricksfields Primary School. Guru kami bernama Encik
Osman Ros. Dia menjelaskan bahawa kami akan menumpang di sekolah itu selama satu tahun sahaja.
Kelas kami di panggil Special Malay Form One. Kejutan pertama yang kami
terima ialah pelajaran akan disampaikan
dalam Bahasa Inggeris. Tujuan utama mengikuti kelas ini yang juga dikenali juga sebagai
“Remove Class” ialah untuk belajar Bahasa Inggeris untuk membolehkan kami
mengikuti semua pelajaran dalam Bahasa Inggeris di Tingkatan Satu tahun
hadapan. Saya bernasib baik sedikit jika
dibandingkan dengan murid murid lain sebab saya sudah belajar sedikit Bahasa
Inggeri semasa dalam Darjah 6 dan 7 di Sekolah Melayu. Ramai kawan kawan saya
yang belum pernah belajar Bahasa Inggeris.
Jadi semasa di Remove Class ini penumpuan adalah kepada pelajaran Bahasa
Inggeris walau pun mata pelajaran lain seperti Mathematics, Sejarah, Geography dan Bahasa Melayu diajar juga.
Hidup di hostel adalah penelaman baharu bagi kami.
Kami mendapat tempat tinggal danmakanan percuma dan diberi pula “pocket money” RM 10
sebulan. Kemudahan dihostel itu begitu baik jika dibandingkan dengan kemudahan
di kampong dahulu. Ada katil dan tilam, mandi air paip dan ada lampu letrik.
Semasa di Remove Class ini kami menerima seorang
pelawat dari Kementerian pelajaran bernama Encik Hamdan bin Sheikh Tahir. Orangnya besar tinggi dan berkulit putih
kemerah merahan seperti orang Inggeris atau Arab. Agaknya tujuan lawatannya
ialah untuk mengetahui kemahiran Bahasa Inggeris kami pada masa itu. Dia
jugalah yang kemudiannya menjadi Guru Besar pertama Sekolah Menengah Melayu pada tahun 1957 dan
Sekolah Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1958. Beliau jugalah yang mempunyai
besar pengaruh dalam hidup saya. Bolehlah saya katakana beliau ialah, “My Most
Unforgetable Character”.
Saya perhatikan kebanyakan murid murid lain Sekolah
Rendah Brickfields ini adalah budak budak bukan Melayu. Begitu juga dengan
murid murid Methodist Girls School yang berjiran dengan sekolah kami. Sangat sesuailah Kerajaan memberi peluang
kepada kami budak budak kampong juga diberi peluang belajar di Bandar.
Tinggal di Hostel dan belajar di Remove Class setahun
ini memperkenalkan saya kepada bandar besar Kuala Lumpur. Saya merasa naik bas dua tingkat. Dengan
bayaran 5 sen sahaja saya naik bas dari Jalan Sulaiman ke Pantai melalui
Bangsar. Di Pantai masa itu belum ada lagi Universiti Malaya. Juga belum ada
lagi taman taman perumahan di Pantai dan Bandar Petaling Jaya seperti sekarang.
Saya berpeluang membeli belah di Foch Avenue (sekarang Jalan Tun Tan Cheng Lok)
dan Batu Road (sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman). Kami ghairah membeli pakaian seperti baju
lengan panjang dan seluar panjang yang dahulunya kami tidak bermampuan membelinya. Slipper Jepun
juga baharu mula dijual dipasaran. Kami semua membelinya.
Saya mengetahui juga selain dari kelas kami di Kuala
Lumpur kelas kelas yang sama ada di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala
Lipis menumpang di sekolah sekolah lai. Untuk murid murid perempuan pula kelas
kelas yang sama ada di Seremban dan Melaka.
No comments:
Post a Comment